Thursday, March 19, 2009

Dia Suamiku...


"Suami yang berwibawa itu dia memiliki ilmu pengetahuan yang luas, ibadah yang kemas, akhlak yang mulia dan kepimpinan yang berkesan."

Suami Idaman

Para wanita Tuhan jadikan bersamanya sifat pemalu. Sifat pemalu semulajadi itu serba sedikit dapat menyelamatkan maruah para wanita. Apabila hilang sifat malu maka runtuhlah benteng maruah yang utama dari wanita. Di akhir zaman ini memang sifat malu semulajadi itu sudah hampir lenyap. Maka lahirlah wanita yang kurang malu atau tak malu. Salah satu kesan ketara kekurangan sifat malu itu apabila para wanita sanggup berterus-terang mengenai ciri-ciri suami idaman. Tanpa berselindung mereka rata-rata idamkan suami macho, tampan, segak, bertubuh sasa, kaya, popular, berpangkat, berkelulusan dan sebagainya. Ramaikah lelaki seumpama itu? Tentulah sedikit saja.

Memang Tuhan jadikan jumlahnya sedikit. Bahagiakah wanita yang berjaya mendapat suami idaman tersebut? Mudah saja jawapan kepada persoalan ini, iaitu kebahagiaan terletak di hati , bukan di mata, telinga, mulut, tangan, kaki dan lain-lain anggota lahir. Sepatutnya wanita merasa malu untuk berterus-terang tentang ciri-ciri suami yang diidamkan. Tetapi tidak pula salah andainya sekadar mengharap, malah dibolehkan harapan itu dirintihkan kepada Tuhan, tanpa dilafazkan. Dan elok disertakan pula dengan sangka baik kepada Tuhan bahawa siapa saja yang datang ke dalam hidupnya seorang lelaki bergelar suami maka itulah yang terbaik untuk dirinya.

Kerana Tuhan Maha Mengetahui, Maha Adil dan sangat luas rahmat-Nya. Setiap anugerah Tuhan itu tetap ada kebaikan atau hikmah di sebaliknya. Oleh itu, lebih baik mengekalkan sifat malu melalui tanpa mendedahkan apa yang tersirat di hati mengenai bakal suami dan mengharap serta berserah kepada Tuhan.

Sebuah perkahwinan atau rumahtangga tidak lebih dari salah satu alat untuk mendapatkan Tuhan . Melalui suami dan melalui isteri, tidak lebih dari alat untuk sama membesarkan Tuhan. Apabila mendapat Tuhan ertinya memperolehi segala-galanya, memperolehi sumber iman dan taqwa, kekuatan, kekayaan, ketenangan, keselamatan dan kebahagiaan. Kehilangan Tuhan, apa saja yang dimiliki dalam hidup tidak mempunyai apa-apa erti kerana semuanya hancur musnah. Kalau begitu kedudukannya, alangkah elok andainya setiap wanita mengharapkan kehadiran seorang suami yang berwibawa kerana dengannya ada sedikit jaminan mendapat Tuhan dan sekaligus mendapat segala-galanya.

Suami berwibawa adalah suami yang berupaya membawa hati kepada rasa kehambaan dan rasa bertuhan. Kedua-dua rasa ini bakal menjamin kesejahteraan dunia dan lebih-lebih lagi di Akhirat.

Wibawa ada dua jenis.

Pertama, yang bersifat semulajadi yang dicipta oleh Tuhan.
Ada manusia yang Tuhan anugerahkan pada dirinya mempunyai tarikan semula jadi seperti cantik, handsome, tampan, petah bercakap. Atau secara semulajadi Tuhan jadikan orang lain mudah jatuh hati, atau memandang hebat kepada seseorang. Atau boleh juga disebut sebagai peribadi yang menarik perhatian. Kurnia Tuhan ini tidak boleh diusahakan.

Kedua, ialah wibawa aradhi atau mendatang .
Wibawa jenis yang kedua ini boleh diusahakan. Ertinya boleh dicapai melalui usaha yang bersungguh-sungguh. Apabila berjaya memilikinya maka peribadinya akan dilihat menarik, disegani, dihormati, disayangi. Malah sangat mendatangkan manfaat kepada dirinya dan orang lain. Bertuah dan beruntung seorang isteri apabila Tuhan kurniakan suami yang berwibawa, iaitu apabila seorang suami memiliki ilmu pengetahuan yang luas, ibadah yang kemas, akhlak yang mulia dan kepimpinan yang berkesan. Lebih-lebih lagi bertuah sekiranya seseorang itu ada kedua-duanya iaitu wibawa semulajadi dan aradhi, tetapi ini amat jarang berlaku kepada orang awam kecuali para rasul.

Di dalam sebuah keluarga, andainya suami belum memiliki wibawa mendatang ini, sentiasa belum terlewat untuk diusahakan. Contohnya, ilmu dan pengetahuan, amat berguna yang akan memberi kesejahteraan di dunia dan merupakan panduan untuk keselamatan Akhirat. Menguasai ilmu semata-mata tidak memadai dalam erti kata kalau sekadar terhenti kepada menjadi cerdik dan pandai. Kerana kerosakan yang amat besar berlaku di muka bumi ini adalah angkara orang cerdik dan berilmu pengetahuan. Ramai para ulama turut melanggar perintah Tuhan. Bukan mereka tidak tahu hukum-hakam, tetapi kerana tidak boleh melawan nafsu. Di sinilah letaknya betapa penting mempunyai iman dan taqwa.

Suami yang berwibawa adalah seorang yang serba sedikit mampu memimpin. Tidak pula dituntut sehingga mencapai ciri-ciri kepimpinan negeri atau negara. Cukup sekadar berupaya memimpin anak isteri. Memimpin anak isteri itu skopnya tidaklah terlalu luas seperti memimpin masyarakat. Namun mestilah boleh menyelesaikan tuntutan asas kehidupan berkeluarga.

Di antara ciri-ciri wibawa suami di aspek kepimpinan ialah:

1. Rumah sebagai masjid, dewan kuliah dan pusat pendidikan .
Inilah perkara pokok yang seorang suami perlu wujudkan dalam rumahtangga. Dinisbahkan masjid sebenar di zaman salafusoleh masjid adalah tempat paling banyak menyebut nama Tuhan dengan berbagai-bagai jenis ibadah khususiyah. Di masjid tempat tenteram, tenang, damai. Tempat di mana nama Tuhan dibesarkan dan diagungkan. Tempat hamba-hamba-Nya tersungkur menghina diri. Di dalam rumah sering diadakan kuliah pendek atau peringatan singkat khusus selepas solat berjemaah, waktu makan bersama dan menjelang tidur. Boleh juga diadakan perbincangan dan membentangkan perkembangan terkini anggota keluarga.

Suami mencorakkan rumahtangga sebagai tempat membangun dan menyuburkan jiwa. Pusat pendidikan yang melahirkan peribadi agung, terutamanya melalui solat. Suami adalah modelnya dalam aspek ilmu dan minda, ibadah, akhlak dan kepimpinan. Gambaran yang ada di tengah masyarakat itu bermula di rumah. Sekiranya rumah itu benar-benar dihidupkan sebagai pusat pendidikan, nescaya lahirlah juga anggota masyarakat yang agung kerana gabungan dari individu yang memiliki peribadi agung.

2. Memberi ilmu dan pengajaran
Suami wajib mampu memberi ilmu atau pengajaran dalam soal-soal fardhu ain. Fardhu ain itu sememangnya wajib bagi setiap mukallaf. Ertinya tidak boleh diabaikan. Atau haram dan berdosa bagi mukallaf tidak selesai fardhu ainnya. Maka dalam keluarga suamilah yang wajib menyelesaikannya. Kalau difahami dalam aspek ini, tentulah tidak timbul sebarang kesukaran kerana ianya memang diwajibkan ke atas diri suami itu sendiri. Selepas itu perlu disampaikan kepada anak isteri.

3. Mendidik
Mendidik, mengasuh, membimbing adalah sama sekali berbeza dengan memberi ilmu dan mengajar. Di sini berlaku salah faham yang amat berat di dalam masyarakat hari ini, yang mana masyarakat beranggapan apabila mereka menghantar anak ke sekolah maka berlakulah pendidikan.

Sebenarnya apa yang disifatkan sebagai pendidikan atau tarbiah hampir-hampir tidak berlaku langsung di mana-mana pun di dunia, hatta dalam pengajian agama termasuk pondok dan tahfiz. Semuanya bersifat memberi ilmu semata-mata tanpa adanya didikan. Seorang suami yang berwibawa itu mampu mendidik hatinya sendiri, kuat bermujahadah sehingga nafsunya tunduk.

Iman dan taqwanya pula mampu disuburkan . Di sinilah letak faktor utama kejayaan suami mendidik isteri. Kerana maksud mendidik isteri ialah membersihkan hatinya dari mazmumah, mengekang nafsu dan menyuburkan iman dan taqwa. Andainya suami gagal mendidik diri maka akan gagal pula mendidik hati isteri.

Mendidik ialah proses berterusan umpama menitiskan air di atas batu. Air satu tasik dicurahkan sekaligus kepada sebuah batu tidak memberi kesan apa-apa. Titisan yang berterusan menjadikan batu lekuk. Hati manusia yang keras itu mestilah dititiskan dengan rasa kehambaan dan rasa bertuhan yang akhirnya menjadi cair. Barulah didikan itu dikira berjaya.

4. Sabar
Dalam bahasa Melayu erti sabar ialah tahan. Suami yang tidak sabar bukan saja hilang wibawa bahkan sangat mencemarkan maruah dirinya. Suami yang pemarah, baran, kaki berang, suka mengherdik, menjegil, suka bertengkar dan meninggi suara akan hilang daya tarikan. Mungkin isteri sanggup mendiamkan diri, patuh dan kelihatan menyetujui, tetapi tidak lagi atas kerelaan, melainkan dengan berat hati, terpaksa kerana takut.

Ketenangan suami itu menjadikan hati isteri sejuk, aman dan tenteram. Isteri akan lebih mudah menerima tunjuk ajar dan didikan sekiranya suami bersifat sabar. Para rasul yang mendapat darjat Ulul Azmi adalah kerana mereka sangat sabar dalam mendidik manusia. Kerenah manusia tidak sampai menggugat hati mereka. Mereka tidak merajuk, kecewa, putus asa bahkan sentiasa mengharapkan kaumnya akan berubah juga satu masa nanti. Begitulah sifat suami berwibawa apabila dia amat sabar menunggu perubahan pada diri isterinya. Sekiranya masih belum berubah, dia tetap yakin bahawa Tuhan belum kehendaki lagi dan dia tetap menyalahkan diri sendiri yang belum bertaqwa, maka lantaran itu Tuhan tidak membantunya.

5 .Penghibur dan pengubat.
Sudah menjadi sunnatullah bahawa manusia tidak terlepas dari ujian dan musibah. Isterilah yang sering dilanda kesedihan. Hati mereka mudah tersentuh atau terguris perasaan. Andainya tidak dibendung, kadang-kadang boleh sampai mencacatkan aqidah bilamana mereka merasa amat kecewa dan putus asa. Seolah-olah putus dari rahmat Tuhan atau terlintas di hati mempersoalkan takdir Tuhan. Kalaupun tidak sampai ke tahap itu, kesedihan yang keterlaluan juga boleh menjejaskan kehidupan harian.

Selain terabai urusan harian, adakalanya berlarutan untuk tempoh yang lama. Suami yang tidak berwibawa, dia pun terikut sama dengan situasi isteri. Kalau ini terjadi maka bertambah buruklah padahnya kerana isteri merasakan sikap kecewanya itu disertai oleh suami. Suami yang berwibawa akan berusaha menghilangkan kesedihan dan kekecewaan isterinya. Ketika itu suami menjadi penghibur kepada kesedihan dan pengubat kepada kekecewaan. Selain memahamkan kepada isteri bahawa setiap ujian dan musibah itu adalah kerja Tuhan yang mengandungi hikmah dan pengajaran, suami juga mesti meyakinkan bahawa salah satu maksud Tuhan yang paling utama ialah agar kita merasakan diri ini adalah hamba yang sangat lemah dalam berhadapan dengan kuasa Tuhan. Agar kita benar-benar merasai kehambaan yang mendalam sehingga banyak perkara dalam hidup ini yang kita benci, tetapi itulah yang Tuhan datangkan, dalam keadaan kita tidak berupaya menolaknya. Banyak perkara yang kita mahu tetapi tidak dapat mencapainya. Maha Besar Tuhan dan Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu.

6.Mengetahui asas-asas saikologi isteri
Apa faedahnya memiliki suami macho, tampan, segak, sasa, handsome seandainya dia seorang yang ego, sombong, mementingkan diri dan syok sendiri. Malah tentu amat menyakitkan hati sekiranya diri isteri itu tidak diambil perhatian. Atau dia kurang mengambil berat tentang diri isterinya.

Dia bersikap one-way atau sehala saja yakni mengharapkan isteri memberi perhatian atau memenuhi kehendak dirinya saja. Tentulah akan bertambah menderita seorang isteri apabila suami begini akan berbuat sewenangnya kerana dia ada modal untuk menawan lebih ramai wanita, satu pergi sepuluh mari. Dia pula memang tahu bahawa isterinya tertarik pada dirinya kerana tampan dan segak itu, pasti isterinya tidak akan ke mana andainya dia bersikap angkuh. Sekiranya ini berlaku maka inilah yang dikatakan sedap di mata saja. Iman dan taqwa saja yang dapat mengubat penyakit suami ini. suami yang berwibawa sangat memberi perhatian kepada isterinya. Dia mensyukuri pemberian Tuhan itu dan menjadikan satu amanah yang mesti ditunaikan.

Memperolehi isteri seolah-olah satu hutang kepada Tuhan yang wajib dilunaskan. Demi untuk menunaikan tanggungjawab sebagai suami kepada isteri, maka dia bersungguh-sungguh mengenali isterinya. Agar dengan cara itu dia dapat memperelokkan hubungan dan dapat mengekalkan keharmonian keluarga.

Selain itu mengenali asas saikologi isteri dapat membantu dalam mendidik dan membimbing sehingga ianya benar-benar berkesan.

Suami amat perlu mengenali isteri dalam aspek berikut:

1. Jenis kekuatan sama ada kekuatan jiwa, akal dan perasan .
Jarang, biarpun ada, yang memiliki ketiga-tiga kekuatan. Namun yang memiliki dua kekuatan sekaligus dikira ramai. Perlu mengetahui setiap kekuatan tersebut kerana antara ketiga-tiga itu memerlukan pendekatan yang berbeza. Kalau isteri memiliki kekuatan akal tentulah dia lebih meminati pendekatan ilmu, hujah, logik dan perbandingan. Ini tidak sesuai pula dengan yang memiliki kekuatan perasaan, yang mana isteri jenis ini suapkan bahan yang sudah siap diproses. Contoh lain, sekiranya seorang isteri itu memiliki kekuatan jiwa, suami boleh mendidiknya atau menegurnya dengan cara yang agak keras. Dia tidak akan ambil hati atau perasaannya tidak tergugat. Ini berbeza dengan isteri yang kuat perasaan. Kalau pendekatan yang sama dilakukan, boleh jadi tiga bulan barulah perasaannya akan pulih. Mengenali jenis kekuatan dan perbezaan watak ini lebih-lebih lagi menjadi penting sekiranya seorang suami itu berpoligami. Ertinya suami itu tidak boleh menghadapi isteri-isterinya dengan satu pendekatan saja dalam memberi didikan atau menyelesaikan masalah.

2. Memahami kegemaran dan kebencian
Dalam menjaga hubungan suami isteri agar dapat diminimakan perkara-perkara yang boleh menggugat kestabilan dan keharmonian, suami yang berwibawa turut mengenalpasti apa-apa kesukaan isteri. Ini merangkumi segala aspek dalam rumahtangga, makan minum, sikap, minat, topik perbualan, hal-hal yang bersangkutan dengan ibu bapa dan adik-beradiknya. Tidak terkecuali juga apa-apa perkara yang dibencinya dalam aspek di atas tadi. Ini memahamkan kita bahawa suami janganlah sentiasa mengharap isteri mengikuti secara terpaksa apa saja kemahuan dirinya. Isteri juga ada perasaan, selera dan citarasa yang mesti dipenuhi. Dan isteri juga ada sensitivitinya yang perlu dihormati.

3. Mengenal sifat dan sikap positif dan negatif isteri
Dalam usaha membina keutuhan rumahtangga, suami yang berwibawa patut memberi perhatian terhadap sifat dan sikap positif atau negatif pada isteri. Dalam hal ini segala sifat dan sikap positif hendaklah didorong dan disuburkan. Manakala sebaliknya sifat dan sikap negatif hendaklah dikikis atau sekurang-kurangnya ditelan tanpa diluahkan secara bebas. Ertinya suami perlu mengingatkan isterinya bahawa yang positif hendaklah dilepaskan manakala yang negatif hendaklah ditahan. Ini merupakan satu jihad atau pertarungan, kerana bukan mudah untuk menahan atau menekan sifat negatif itu.

Namun kesannya amat besar apabila berjaya membendung sikap negatif. Terutamanya dalam rumahtangga, tentulah suami akan lebih simpati terhadap isteri yang berusaha keras menyimpan sifat-sifat negatif itu tanpa diluahkan.

Sangat terkesan.

Sumber: My fren's email.

1 comment:

nudra syafini said...

YUP!! amat terkesan, sgt terkesan dan alangkah baiknya jika lelaki2 di luar sn dpt sama2 mmbaca tulisan ini..=)

Softening Brush

 Bismillah. The hectic week has just begun, and I need to slot in my packed time, even 5 minutes, to sharpen my art skill of sketching up an...