Thursday, September 11, 2014

Kelana Diri

Kha, Sept 9, 2014 - Alhamdulillah. Masih ada fungsinya lagi blog ini walau sekian lama dibiar dipenuhi rumput-rumput dan lalang liar. Bukan masa yang harus dipersalahkan. Tapi salah lah diri sendiri.

Menyingkap 2014, banyak berlaku dalam hidup ini. Diungkapkan dalam satu kata-kata hikmah tersirat..

Injakan usia ini bukan tandanya tua
Injakan usia ini injakan fikiran dan tanda matang
Hati terusik dengan rencam manusia
Hati dipalu dengan rasa mendatang
Dilalui liku dengan ketenangan
Dipasak rasa hati yang satu
Menuju rasa cinta yang padu
Buat Nya kekasih yang satu

Hadir insan pelbagai ceritera
Hadir sahabat tanda keramat
Hadir teman sekadar bicara
Hadir rafiq sentiasa mengamat
Dicambah rasa pelbagai perisa
Suka ditambah dengan derita
Benci dibilas dengan rasa ketawa
Sabar juga dapat membahagia
Senyum terpancar menjadi cinta

Keringat terkerah kerana dek amanah
Amanah dilaksana kerana dek ibadah
Hadirkan ikhlas dalam amanah
Hadirkan syukur dalam ibadah
Hati dipukul rasa tak menentu
Hati menjadi rasa tak keruan
Hati menangis rasa tak tahan
Hati menanggung peritnya perasaan
KepadaNya jua tempat berpaut
KepadaNya jua rasa melaut
KepadaNya jua kasih bertaut

Sesaban hari mencari yang pasti
Saban masa mengungkai misteri
Saban ketika mengubat hati
Saban detik meraut cinta Illahi...
Hadir kembali sinar bahagia
Hadir bersama tenangnya jiwa
Tiada Dia tiadalah jiwa
Tiada Dia dihati mata kan buta
Jiwa kan sengsara
Raga kan binasa

Berkelana aku didaerah ini
Bukan destinasi yang terakhir
Akan kuterus jejaki ketenangan abadi
Akan ku capai cinta Illah..
Hanya Dialah Maha Melindungi...

Castle of Coconut Milk
2341
feeling released

Sunday, March 9, 2014

Menginjak Usia, Mengingat Mati

Assalamualaikum wbt wrt

Saya kurang pasti sama ada masih adakah kawan-kawan yang masih mengingati blog ini. Terlalu lama saya tinggalkan. Setahun berlalu tanpa berita. 2013 tanpa satu pun posting. Allah... Sebenarnya masih wujud, cuma tiada ruang untuk saya kongsikan dalam blog ini. Kalau diikutkan coretan pengalaman yang terisi 2013 saya pelbagai rasa yang boleh dicoretkan. Namun apa yang boleh saya katakan alhamdulillah walhamdulillah. Lebih selesa bermonolog sendirian di sini, mencoret rasa hati.

Semalam (Sabtu) seluruh Malaysia dan dunia dikejutkan dengan kehilangan MH370 dari KL ke Beijing. Saya tiada apa yang ingin dikongsikan, cuma berdoa agar diberi yang terbaik atas usaha semua pihak bagi membantu mangsa yang terlibat. Manakala awal pagi ini (Ahad) saya diberitakan dengan kematian bapa saudara saya pada pagi tadi. Alhamdulillah jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Keteri usai solat Asar tadi. Arwah adalah Cikgu Mustafa Yunus bekas guru yang telah banyak jasanya dalam dunia pendidikan. Talkin selepas upacara pengebumian menyebut, dan pastinya selalu kita dengar, "Apabila meninggal anak Adam itu hanya 3 perkara yang dibawa adalah anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat dan amal jariah". Semoga arwah ditempatkan di kalangan hamba yang beriman amiin.

Buat kita yang masih hidup, masa terlalu singkat untuk dipersia-siakan. Bekalan perlu diperhebatkan. Apa yang kita ada? Apa bekal yang kita ada sudah cukup? Apa yakin akan terang dengan amalan kita di barzarkh nanti? Apa luas taman-taman kita di barzakh nanti? Apa terang tempat pengabadian kita nanti? Sama-sama kita fikir dan audit.

Faqir ilallah,
-fiezarmy-
2014, Mac 09