Menanti Isya' tiba membuatkan aku terkenang-kenang beberapa perkara yang memberikan kesan yang mendalam pada hari ini.
Seusai diskusi dengan Dila di lantai dua, main library aku bergegas ke KL Gateway kerana aku dah berjanji dengan bekas pelajarku yang kukenal kira-kira tiga-empat tahun dulu. Melati namanya. Seingat aku sepanjang terciptanya sebuah pertemuan itu adalah di tempat kerjaku, dia pelajarku dan aku cikgunya. Sangat berbudi bahasa dan sopan orangnya. Ya itu aku pasti. Dia akan berhenti jika nampak aku melalui kaki lima kuliah, pasti memberi salam kepadaku.
Masa-masa yang terluang pasti dia akan ke bilik aku untuk bertanya khabar. Kadang-kadang seorang kadang-kadang dengan kawannya. Semuanya berterusan sehingga dia habis belajar, sifatnya hormat kepada guru dan selalu bertanya khabarku, membuatkan aku ingat dia antara yang sering menghubungi dan memberitahu perkembangannya terkini. Sehingga info terakhir aku tahu dia berjaya menempatkan diri di Bank Rakyat. Alhamdulillah. Aku pastinya antara insan yang gembira. Tak ada perasaan yang selayaknya buat seorang guru melihat pelajarnya berjaya di dalam pasaran pekerjaan.
Dek kerana sifatnya selalu bertanya khabar maka selalulah dia akan tahu aku berada di mana dan di mana. Selalunya kekangan masa menyebabkan aku dan dia tidak bertemu walaupun aku dah lama berada di sini.
Peristiwa adiknya ingin mendapatkan saksi untuk biasiswa JPA dan dia sangat-sangat memerlukan saksi adalah satu aturan Allah membuatkan kami bertemu semula setelah bertahun dia bergraduat. Hujan renyai dia dan adiknya datang ke kampusku UM untuk bertemu. Aku terus bawa mereka ke tempat yang lebih selesa dan kebetulan masa makan tengahari sesuailah untuk kami menjamu selera.
Sambil makan dan sambil berborak, first sekali aku suka mengimbau kembali dan bertanya soalan-soalan yang saja aku nak ambil tahu.
"Dulu masa mula-mula jumpa saya dalam kelas, awak rasa macam mana?", tanyaku.
"Cik nampak serius dan garang," ikhlas dia menjawab. Memang pun. Aku tersenyum. Hatiku berdetik, tak kenal maka tak cinta.
Lalu dia sambung lagi, "tapi bagi saya Cik baik." Ha ha ni ayat bodek.
Sebab jawapan pertama itu memang rata-rata pelajar aku akan jawab macam tu. Nasiblah badan sebab aku sejenis muka yang serius. Tapi.... dia tak tahu yang aku ni dalam hati ada taman hahhaaa....
Habislah pertemuan pertama aku dengan dia dan adik dia kira-kira sebulan yang lalu. Aku pun memang kebetulan aku boleh memberi bantuan. Dilihat adiknya pun aku rasa tak sampai hati. Mereka berdua aku hantar ke stesen LRT Kerinchi.
Berbalik kepada tajuk aku hari ni, minggu lepas hari tua ku. Sememangnya dia antara insan yang mengucapkan selamat buatku. Memang la. Dia ingat, dari mana pun aku tak pasti.
Mesejnya bertalu nak jumpa denganku pada hari kelahiranku. He he, tapi aku puasa maka tak dapek la jumpa. Dia ingin slot pada hari-hari berikutnya namun aku ada bengkel dan terus akan gerak ke utara selepas bengkel tersebut. Jadinya aku betul-betul lapang pada hari ini.
Makanya, tengah hari tadi aku jumpa dengannya. Aku memang nak ajak dia makan, sebab memang time makan. Aku nampak dia kendong paper bag polka dot....(macam tau-tau ja feberet ceq). Tersengih-sengih dia. Dalam polka dot tu ada sehamper hadiah buatku.
Aku terus lambai-lambai dan ajak order makan. Masa makan tu lah aku rasa aku lihat sisi berbeza seorang yang bernama Melati ini. Kaya jiwa. Itu lah perkataan yang sesuai buatnya, sehingga aku sanggup coretkan dalam blog aku hari ni.
Baru aku tahu betapa mulianya hatinya berhenti kerja untuk menjaga ibunya yang sakit, menguruskan segala hal ehwal keluarganya. Subhanallah, maha suci Allah aku belajar sesuatu daripadanya. Aku belajar erti pengorbanan seorang anak buat ibu bapanya, betapa kasihnya anak kepada ibu bapanya. Betapa murninya jiwa dan kayanya kasih sayang dia buat ibu bapanya.
Bila ditanya kenapa berhenti, katanya akan ada rezekinya nanti kerana sekarang masanya untuk dia menjaga ibunya.
Apa rutinnya setiap hari aku tanya satu-persatu, apa dibuatnya, bagaimana dan kenapa. Semua diceritakan kepadaku. Sehinggakan aku meminta maaf kepadanya kerana aku selama ini tidak pernah mengambil berat tentang dia. Allahu... Aku benar-benar belajar erti syukur, sabar dan tabah daripadanya. Hatinya yang baik. Hati aku tak habis-habis menyebut "she has a good heart, pure heart, noble heart."
Semoga Allah mengurniakan rezeki yang melimpah ruah buatnya dan juga insan-insan yang mendoakan dan mengingati aku.
Mereka yang hadir dalam hidup kita ini bukannya satu kebetulan tetapi memang telah diaturkan Allah untuk memberi pengajaran buatku dan menguatkan lagi ikatan kasih sayang kepada mereka. Semakin mengenali mereka semakin menebal sayang dan ukhuwah yang terjalin. Samalah dengan sorang lagi kawanku ini, dia dah siap-siap ke Jakarta kerana ada persidangan di sana. Tapi di pagi hari ada orang hubungi aku, ada barang katanya. Turun sahaja di bawah asramaku, dah ada a bundle of chocholate dia berikan padaku. Terharu ceq.
Selalu aku ingat hadith nabi ini,
"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seadainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah HATI."
(Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir)
Mereka yang hadir dalam hidupku, alhamdulillah mempunyai hati-hati yang baik. Makanya aku selalu memandang hatinya dahulu,
a good heart will potray a good act. Mak pun selalu pesan kita mestilah jadi Kaya Jiwa dan Kaya Hati. Selalunya kaya jiwa ni tak perlu adanya pangkat dan harta, kaya jiwa itu selalunya ada dan tertanam dalam setiap tindak tanduk dan akhlak bicara mereka itu sendiri. Aku dan Mak suka berbincang tentang konsep kaya jiwa ini. Sebahagian contoh ada pada hari ini adalah pelajarku, kaya jiwanya.
Lembah Pantai