Monday, January 12, 2009

Third Islamic Economic Congress



Landasan muhasabah diri tangani masalah serta merancang masa depan gemilang

KONGRES Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) bertemakan 'Menggerak Potensi Memperkasa Ekonomi Ummah' yang berlangsung dari 12 hingga 15 Januari ini di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra, amat menarik.

Ia kerana penekanan yang bakal diberi pada persidangan tiga hari anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Majlis Perundingan Islam Jabatan Perdana Menteri itu ialah menggarap semua potensi yang dimiliki ummah dalam pelbagai bentuk untuk maju.

Ketua Pengarah YaPEIM, Dr Abdul Malek Awang Kechil, berkata umat Islam sebenarnya mempunyai potensi dan kekuatan, tetapi tidak diterjemahkan dalam kehidupan menyebabkan mereka hanya menjadi pelopor, bukan juara dalam bidang yang dipelopori.

Katanya, perlu ada usaha memastikan setiap potensi serta kekuatan yang ada pada umat Islam digerakkan ke tahap memberi manfaat besar bukan saja kepada umat Islam, malah seluruh dunia.

"Di sebalik tanggapan negatif yang sering diberi kepada umat Islam, kita perlu akui kebanyakan program berteraskan Islam yang diperkenalkan bukan saja diterima umat Islam, malah diiktiraf bukan Islam. Kita lihat ini sebagai kekuatan ummah.

"Bagaimanapun, kekuatan yang kita ada tidak digali, digarap, digerak dan diterjemahkan dalam kehidupan sebenar termasuk perniagaan.
"Diharap KEI-3 dapat mencetuskan semangat untuk bersepadu menggerak potensi, benda yang kita ada dan maju ke depan," katanya.
Beliau berkata, KEI-3 juga diharap berupaya memberi suntikan baru kepada landskap masa depan pembangunan ekonomi menurut perspektif Islam di negara ini seterusnya memberi lonjakan baru kepada institusi yang berperanan melaksanakan agenda pembangunan ekonomi Islam.
KEI-3 adalah inisiatif YaPEIM untuk meneruskan agenda memperkasa serta memperkukuhkan ekonomi umat Islam supaya dapat digerakkan secara bersatu padu berdasarkan potensi yang dikenal pasti.

Ia juga dilihat sebagai wadah untuk menilai kembali resolusi Kongres Ekonomi Islam Kedua dalam aspek pembangunan ekonomi Islam di negara ini, sekali gus menjadi pelengkap usaha kerajaan menjadikan dasar, perancangan serta program ekonomi selaras kehendak Islam.
KEI-3 dijangka dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan majlis penutupnya akan disempurnakan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.
Sebanyak 35 kertas kerja yang dibahagikan kepada sembilan tajuk dibentang pada kongres berkenaan.
Antaranya 'Penerokaan Bidang Ekonomi yang Strategik; Memperkasa Ekonomi Ummah Melalui Pemantapan Jaringan dan Penerokaan Berkesan dalam Pasaran Global' serta 'Memperkasa Institusi Pembangunan Ekonomi dan Penggemblengan Dana Ummah dan Memantapkan Budaya Keusahawanan di Kalangan Generasi Baru'.
Seramai 350 peserta terdiri daripada pemimpin, tokoh pemikir, cendekiawan, ahli korporat, ulama serta wakil pertubuhan bukan kerajaan dijangka hadir. Kongres berkenaan turut dihadiri kira-kira 600 pemerhati.
Menjawab persoalan mengenai tempoh agak lama iaitu 37 tahun untuk menganjurkan KEI-3, Abdul Malek berkata, jarak itu bukan satu masalah kerana vakum yang memisahkan diisi oleh penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera yang turut membahaskan persoalan berkaitan Islam.
Katanya, resolusi dicapai daripada Kongres Ekonomi Bumiputera yang diadakan pada 1965, 1969, 1992 dan terakhir 1999, dianggap pelengkap dan pengukuhan kepada agenda pembangunan ekonomi daripada perspektif Islam di negara ini.
"YaPEIM mencetuskan inisiatif ini kerana kita sentiasa melihat persoalan ummah dan pada masa sama memikir untuk memperkasa ummah.
"KEI-3 antara usaha kita hasil perbincangan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Harapan YaPEIM ialah menjadikan perbincangan pada kongres kali ini sebagai momentum baru yang akan menggerakkan potensi ummah.
"Masyarakat dunia sedang mencari potensi sedangkan kita sudah ada, jadi kita tak mahu terlepas peluang ini," katanya.
Beliau berkata, jika KEI-2 diadakan di Kolej Islam Malaya pada 1972 berjaya menghasilkan resolusi penting yang berupaya membawa perubahan kepada corak pembangunan ekonomi Islam di negara ini antaranya penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), institusi kewangan Islam serta YaPEIM sendiri, diharap KEI-3 turut menjadi penggerak kepada pencapaian lebih baik pada masa akan datang.
Abdul Malek berkata, tidak dinafikan bagi menggerak usaha meningkatkan ekonomi ummah bukan mudah kerana cabaran utama adalah menelah apa yang bakal berlaku pada masa depan kerana matlamat KEI-3 bukan saja masa kini tetapi untuk generasi akan datang.
Bagaimanapun, katanya dengan semangat serta kesatuan pemikiran semua pihak yang bakal mengambil peranan, umat Islam mampu menggerakkan potensi serta kekuatan yang dimiliki untuk menghasilkan keputusan diharapkan.
Katanya, KEI-3 adalah landasan untuk ummah bermuhasabah diri melihat status serta potensi yang dicapai serta boleh dipertingkatkan dan pada masa sama memperkasa keutuhan umat bagi menangani persoalan semasa serta era masa depan.
"Memang kita kata dalam empat hari apa yang boleh dibuat, tetapi sekurang-kurangnya kita mendapat satu gagasan daripada misi utama dan YaPEIM akan terus menghulurkan kepakaran serta menyokong usaha daripada kongres ini," katanya.
at 4:15 PM 0 comments
Labels: Berita
Jan 1, 2009
Pengenalan KEI-3

Kongres Ekonomi Islam Kedua yang telah berlangsung di Kolej Islam Malaya pada tahun 1972, berlangsung dengan jayanya dan telah menghasilkan resolusi-resolusi penting, sekaligus berupaya membawa perubahan kepada corak pembangunan ekonomi Islam di negara ini. Antara institusi yang ditubuhkan hasil gagasan dan resolusi Kongres tersebut ialah perlunya institusi pengajian tinggi Islam seperti Universiti Islam (Universiti Islam Antarabangsa), institusi kewangan Islam seperti Bank Islam (Bank Islam Malaysia Berhad) dan institusi pembangunan sosioekonomi seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia.

Penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera yang telah berlangsung sebanyak empat kali (1965, 1969, 1992 dan 1999) boleh dianggap sebagai langkah pelengkap dan pengukuhan kepada agenda pembangunan ekonomi dari perspektif Islam di negara ini. Kenyataan ini secara jelas dapat dilihat daripada resolusi-resolusi yang disepakati sempena kongres berkenaan.

Secara makronya Kongres Ekonomi Bumiputera Ketiga (1992) turut membahas dan memutuskan agenda pembangunan ekonomi Islam. Namun begitu terdapat beberapa resolusi khusus yang terkait dengan cadangan pemerkasaan program keislaman di negara ini, seperti yang terkandung dalam Resolusi 30 (nilai Islam dan etika niaga), Resolusi 32 (cara-cara pengutipan zakat), Resolusi 33 (diselaraskan penggunaan Tabung Baitulmal), Resolusi 34 (penerapan nilai-nilai Islam dilaksanakan melalui sekolah dan institusi pengajian tinggi), Resolusi 35 (digemblengkan sepenuhnya semua bentuk institusi Islam (masjid)) dan Resolusi ke 39 (supaya kerajaan menimbangkan pindaan ke atas yang berkenaan untuk membolehkan amaun zakat yang dibayar oleh syarikat-syarikat bumiputera dikecualikan daripada cukai korporat, sepertimana pembayaran zakat individu).

Kongres Ekonomi Bumiputera Ketiga (KEB-3) juga secara khusus turut menyarankan agar Kongres Ekonomi Islam diadakan, seperti yang diputuskan melalui Resolusi ke 37 kongres berkenaan.

3 comments:

TANPANAMA said...

fuh,pjgnye entry hang cik piz..aku g penutup je nanti.hehe..

fiezarmy said...

hehe..
yg ptg hg dapat input tu..

aku punya la pikiaq sapa la kejora bersinar ni... ropa-ropanya hg cik pah...

selalu-selalula update entry hg tu..

TANPANAMA said...

ehehe..nak update pon tgk mood..da mls nak taip n tulis,x mcm dolu2..

Softening Brush

 Bismillah. The hectic week has just begun, and I need to slot in my packed time, even 5 minutes, to sharpen my art skill of sketching up an...